Thursday, May 6, 2010

Stress Dan Cara Mengatasinya

STRESS DAN CARA MENGATASINYA

Stress merangkumi pelbagai perasaan termasuk tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, anxieti, kemurungan dan hilang daya. Gejala stress ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mencapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu profesional dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya. Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stress yang dicipta dalam dirinya sendiri.

Seringkali dalam proses setiap pekerjaan dan kehidupan seharian kita tidak terlepas dari keadaan ketegangan atau stress. Manusia seringkali mengadu bahawa ia mengalami stress, 'tension' atau tegang. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara penting dalam kehidupan hampir tiba seperti hari perkahwinan, menghadapi peperiksaan, menghadapi temuduga dan sebagainya. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan perlu disediakan. Banyak perkara yang belum difahami dan bermacam-macam lagi yang datang menghantui. Apabila berada dalam situasi ini seringkali kita menyatakan bahawa kita tidak dapat berbuat apa-apa. Potensi diri tidak dapat diterjemahkan dengan baik

Stress ialah satu perkara yang normal yang selalu berlaku kepada setiap insan. Oleh sebab itu sebagai manusia kita perlu tahu dan memahami tentang makna stress secara khusus. Sebenarnya ketegangan atau stress ini mengikut definisinya ialah pengalaman yang tidak enak yang dirasai secara dalaman. Pengalaman ini dialami secara mental, fizikal, emosi dan spiritual. Ia dimanifestasikan secara psikologi, kognitif dan tingkahlaku. Apa yang dapat dilihat, stress ialah satu situasi yang tidak selesa yang mana setiap manusia merasainya secara dalaman. Stress ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal seperti badan menggeletar. Dari emosi pula ia boleh menyebabkan perasaan marah, gelisah, gundah, dan segala-galanya yang menyebabkan ketidakstabilan emosi dan mengganggu dari segi semangat atau spiritual yang ada.
Sikap dan penyakit orang lain mudah berjangkit. Manusia ada tabiat untuk mengalihkan stressnya kepada orang lain. Pernahkah anda merasa tertekan dengan kemarahan dan kelakuan negatif dari ketua, ibu-bapa atau pasangan anda?. Agak senang bereaksi kepada mood orang lain dan adakalanya tanpa kita sedari kita telah menyerapi stress yang diluahkan oleh orang lain.

Bagi mengurangkan atau mengelakkan berlakunya ketegangan, syor atau langkah yang perlu diikuti adalah:
i) Kenalpasti dan amati tanda-tanda ketegangan pada diri
ii) Ketahui bilakah ia berlaku dan di mana biasanya ia terjadi
iii) Cara untuk mengurangi masalah ialah anda harus mengakui akan ketegangan yang berlaku dalam diri anda dengan menyatakan dengan kuat "Aku dalam ketegangan dan tekanan" dan dengan ini akan mengurangkan masalah ketegangan anda.
iv) Buat persiapan awal dengan rapi dan lengkap sebelum melakukan tugas atau kerja diberi oleh ketua anda.

Tidak boleh dinafikan, proses perubahan yang berlaku di dalam hidup kita, sedikit sebanyak memberikan ketegangan di dalam diri. Ini kenalah kita sendiri yang mencari jalan bagaimana mengawalnya lalu mencegah ia daripada berlaku. Sebagai alternatif, apa yang anda boleh lakukan:
i) Kenalpasti perubahan tersebut dan belajar untuk berhadapan dengannya
ii) Memastikan dahulu perubahan tersebut dan cari cara-cara untuk mengatasinya
iii) Mengenalpasti kekuatan diri (strength) bagi mengatasi ketegangan dan tekanan akibat perubahan.
iv) Kenalpasti kawan anda yang boleh membantu untuk memberi sokongan, nasihat dan galakan
v) Buat perancangan dan tindakan apakah cara yang paling sesuai bagi diri anda untuk menghadapi perubahan tersebut.
Anda perlu mengubah diri untuk mengimbangi perubahan yang berlaku di sekeliling bagi menangani ketegangan.

Cara untuk menenangkan diri daripada ketegangan yang disebabkan oleh kesibukan, anda boleh:
i) Mengambil wuduk dan sembahyang sunat sambil banyakkan berzikir
ii) Cuba luangkan masa 10 minit duduk/rehat (bersantai) sambil melapangkan fikiran.
iii) Luangkan masa setengah jam menikmati alam semulajadi.
iv) Duduk di bilik yang gelap dan dengarlah muzik yang anda gemari. Contohnya muzik sentimental.
v) Buatlah senaman yang mudah dan rasakan seolah-olah anda mengeluarkan segala ketegangan dalam diri anda.
vi) Bebaskan diri anda daripada kesibukan seperti pergi menonton dan biarkan tubuh dan minda anda berehat seketika.
Kesimpulannya, banyak lagi kaedah yang boleh kita gunakan untuk mengurangkan stress atau ketegangan di dalam diri kita. Sekiranya kita pandai mengadaptasikannya, insya-Allah kita dapat menghindari penyakit-penyakit yang kita tidak sangkakan berlaku seperti migrain, darah tinggi, sakit belakang, insomnia dan sebagainya. Sekiranya kita dapat mengatasi ketegangan-ketegangan dalam hidup kita, kita akan dapat menjadi seorang individu yang periang, cergas, dapat melahirkan sesuatu idea yang jitu, canggih dan akhirnya wujudlah masyarakat yang prihatin dan juga tidak bermasalah.

Monday, April 26, 2010

KAIZEN

KAIZEN : AMALAN HIDUP YANG PROGRESIF MELALUI PERUBAHAN DAN PENAMBAHBAIKAN YANG BERTERUSAN
"if a man has not been seen for three days, his friends should take a good look at him to see what changes have befallen him" ( Old Japanese saying )

PERUBAHAN DAN PENAMBAHBAIKAN DALAM KEHIDUPAN ORANG JEPUN
Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakkan syarikat-syarikat di Jepun terpaksa berusaha untuk memulihkan keadaan perniagaan mereka. Setiap hari merupakan cabaran dan progres baru bagi pengurus dan pekerja. Usaha-usaha menghadapi cabaran-cabaran ini telah banyak membentuk pemikiran pengurus dan pekerja syarikat-syarikat Jepun ke arah mencari jalan memulih dan menambahbaik perniagaan mereka yang terjejas akibat perang. Dengan berpandukan kepada pelbagai kaedah penambahbaikan yang diperkenalkan pada penghujung tahun 1950 dan awal 1960 oleh W.E Deming dan J.M Juran, Jepun telah memperkenalkan cara hidup yang berlandaskan ‘perubahan dan penambahbaikan’.

Kebangkitan semula Jepun dalam arus perniagaan akibat dari kesan peperangan telah membuka persoalan dari pelbagai pihak termasuk orang-orang barat tentang bagaimana orang Jepun berjaya untuk ' hidup semula’ dan menghasilkan ‘the economic miracle success’.

KEPERCAYAAN JEPUN
Kepercayaan bahawa ‘penambahbaikan tidak seharusnya ada penamatnya’. telah tertanam begitu mendalam dalam pemikiran orang-orang Jepun. Kepercayaan ini menghasilkan pepatah lama Jepun ‘ Sekiranya seseorang tidak dilihat selama tiga hari, rakan-rakannya hendaklah memandangnya dengan betul-betul untuk melihat apakah perubahan yang terdapat padanya’. Oleh itu seorang Jepun hendaklah sentiasa berubah jika mahu dilihat oleh rakan-rakannya. Berpegang teguh kepada pepatah tersebut, perubahan telah menjadi satu cara hidup dan nilai serta amalan orang-orang Jepun yang membawa banyak kejayaan kepada mereka. Bagi orang-orang Jepun ‘ perubahan’ bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah atau take for granted. Walaupun pada zahirnya mereka ini nampak ‘kerdil’ dari segi saiz badan dan ukuran setiap langkah mereka, namun pada hakikatnya walaupun kerdil, pemikiran mereka adalah tinggi dan setiap langkah yang diambil penuh berhati-hati. Dari segi amalan, orang Jepun melihat jauh ke hadapan (pro-active) walaupun pada zahir mereka jalan menunduk.

PENGERTIAN KAIZEN
KAIZEN ialah perkataan Jepun yang membawa maksud ‘penambahbaikan’ yang berterusan. Kaizen adalah cara hidup – sama ada dalam kehidupan bekerja, kehidupan sosial mahupun kehidupan seharian di rumah. Kaizen merupakan satu konsep ‘payung’ yang merangkumi kebanyakkan dari amalan-amalan unik orang-orang Jepun, termasuk cara berfikir, disiplin, mematuhi arahan, taat, kekemasan tempat kerja, kerapian, kebersihan, keselamatan, kerja kumpulan serta nilai-nilai positif yang lain dalam kehidupan seharian. Dalam konteks pengurusan, KAIZEN bermaksud penambahbaikan berterusan yang melibatkan semua pihak dalam organisasi termasuk pengurus dan pekerja.

Kaizen dalam bahasa Jepun bermaksud penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan secara berdikit ( gradual) dan teratur. Dalam pengurusan organisasi Kaizen adalah satu amalan dan budaya mengekalkan penambahbaikan berterusan yang fokus kepada penghapusan pembaziran dalam sistem dan proses organisasi. Strategi Kaizen bermula dan berakhir dengan manusia atau pekerja. Melalui Kaizen, pemimpin yang terlibat akan membimbing pekerja untuk terus berusaha ke arah penambahbaikan yang memenuhi kecemerlangan kualiti, kos yang rendah dan juga ketepatan penghantaran.

Pendekatan Kaizen adalah lebih menekankan kepada kemanusiaan, kerana ia memerlukan setiap individu untuk terlibat dalam usaha-usaha penambahbaikan. Ia berdasarkan kepada kepercayaan bahawa setiap manusia boleh menyumbang kepada penambahbaikan tempat kerjanya di mana ia menghabiskan satu pertiga dari kehidupannya.

PENDEKATAN KAIZEN DALAM USAHA PENAMBAHBAIKAN
Titik permulaan bagi penambahbaikan ialah mengenalpasti keperluan untuk ditambahbaik. Ini boleh dihasilkan melalui mengenalpasti masalah, walaupun dalam keadaan tertentu sesuatu keadaan itu tidak dianggap sebagai masalah. Kaizen menekankan kepada kesedaran terhadap masalah dan melibatkan proses penyelesaian masalah melalui kaedah-kaedah penyelesaian masalah yang tertentu. Usaha penambahbaikan dianggap tercapai apabila sesuatu masalah dapat diselesaikan.

Bagaimanapun untuk menerimapakai pembaharuan atau pendekatan baru, penambahbaikan tersebut hendaklah diseragamkan. Oleh itu pendekatan Kaizen memerlukan penyeragaman dalam pelaksanaan.

KAWALAN KUALITI MENYELURUH (TQC) DAN KAIZEN
Apabila menyebut tentang kualiti, seseorang terus berfikir dalam konteks kualiti produk. Bagaimanapun pendekatan Total Quality Control (TQC) atau Kawalan Kualiti Menyeluruh yang diamalkan oleh Jepun lebih cenderung kepada kualiti manusia. Penerapan kualiti dalam manusia sering menjadi keutamaan kepada TQC. Sebuah organisasi yang berupaya membentuk kualiti dalam manusia dianggap sebagai telah mencapai sebahagian dari perjalanan ke arah menghasilkan kualiti produk.

Perkataan kualiti membawa pelbagai maksud tersendiri. Bagaimanapun dalam kebanyakkan huraian, kualiti berkisar kepada apa jua aspek yang boleh ditambahbaik,( Masaaki Imai 1991 ) tidak kira sama ada kualiti bekerja mahupun kualiti diri individu yang boleh ditambahbaik. Sebagai individu, kualiti yang boleh ditambahbaik termasuk cara bekerja, perhubungan manusia, komunikasi, kesedaran kepada kebersihan, kekemasan diri, dan persekitaran tempat kerja.

Dalam pengurusan, salah satu strategi Kaizen melibatkan proses penyelesaian masalah melalui Quality Circle (QC). Kejayaan dalam menyelesaikan masalah melalaui QC ini terletak pada bagaimana QC dikendalikan. Sudah pasti faktor-faktor kemanusiaan memainkan peranan yang utama bagi menjayakan sesebuah QC.

KAIZEN DALAM KEHIDUPAN INDIVIDU
Walaupun pendekatan dan teori-teori tentang Kaizen yang diterbitkan banyak difokus kepada pengurusan organisasi, kita jangan lupa tentang akar umbi Kaizen yang mana ia dihasilkan dari amalan dan kepercayaan individu-individu Jepun yang sentiasa mengamalkan perubahan dan penambahbahbaikan dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu cuba kita alihkan konsep Kaizen ini ke arah cara hidup sebagai individu kerana seandainya sebagai individu kita tidak berubah ke arah penambahbaikan, jangan diharapkan penambahbaikan dalam pengurusan akan berlaku walau secanggih mana sekalipun sistem dan prosedur yang diperkenalkan oleh pengurusan !. Kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya terletak pada kecanggihan sistem, teknologi ataupun prosedur tetapi juga terletak pada faktor-faktor kemanusiaan.

TUNTUTAN NILAI-NILAI PROGRESIF KAIZEN DALAM INDIVIDU
Perubahan melalui pendekatan Kaizen dalam diri seseorang manusia memerlukan masa dan ia mememerlukan satu pendekatan yang cenderung kepada spiritual. Pendekatan Kaizen adalah berlandaskan kepada kepercayaan terhadap naluri manusia terhadap kualiti serta nilainya. Pengurusan yang mengamalkan pendekatan Kaizen hendaklah sentiasa meletakkan kepercayaan bahawa HASIL Kaizen bukanlah diperolehi dalam sekelip mata, tetapi ia lebih merupakan hasil JANGKA PANJANG. Nilai-nilai yang perlu diterapkan dalam diri seseorang individu yang mahukan perubahan termasuk :

i) KEAGAAMAAN
Setiap agama menekankan kepada nilai-nilai yang murni. Pegangan teguh kepada ajaran agama masing-masing boleh membentuk keperibadian seseorang individu. Kehidupan menjadi lebih tenang dan dengan itu seorang individu dapat melaksanakan tugasnya tanpa merasa tertekan. Seandainya individu tidak berpegang teguh pada ajaran agama dan tiada inginkan perubahan dalam dirinya, maka apa jua idea yang cuba ditanamkan dalam pemikirannya tidak akan diterima. Akhirnya individu akan tenggelam dalam dunia sendiri yang tidak mengundang kepada usaha yang progresif.

ii)KEPERCAYAAN KEPADA NALURI UNTUK BERUBAH KE ARAH KUALITI
Berlandaskan kepercayaan bahawa dirinya boleh berubah, seseorang individu akan menjadi lebih positif dalam hidup. Pintu pemikirannya akan terbuka luas untuk apa jua langkah ke arah kehidupan yang lebih progresif.

iii)SAYANG-MENYAYANGI DAN HORMAT MENGHORMATI SESAMA MANUSIA
Selain dari menyayangi tuhan, tidak ada lain yang penting selain dari menyayangi diri sendiri dan juga menyayangi insan yang lain. Perhubungan yang baik dan harmoni antara sesama manusia amat dituntut walau apa jua agama yang dianuti oleh individu. Setiap hari manusia akan berhadapan dengan pelbagai kerenah manusia lain yang memerlukan individu menyesuaikan diri dengan cara terbaik bagi membolehkan ia mendapatkan sokongan yang padu dari manusia lain untuk melakukan sesuatu. Sekiranya individu berkenaan sendiri tidak mahu berubah dari sikap yang negatif kepada yang lebih menyenangkan, maka hasratnya untuk memperolehi sokongan tidak akan tercapai. Oleh itu untuk kehidupan yang lebih progresif, individu itu sendiri perlu mengamalkan amalan kaizen dalam hidupnya.

iv)INGIN BERKONGSI
Semangat ingin berkongsi menjadi kekuatan dalam melaksanakan sesuatu tugas yang diamanahkan bersama. Tanpa nilai ingin berkongsi, kejayaan tidak akan tercapai. Pendekatan Kaizen dalam menyelesaikan masalah amat menekankan kepada konsep berpasukan melalui persepakatan pasokan Quality Circle . Sebarang keputusan yang dihasilkan mestilah melalui satu suara All For One and One For All !.

v)SEMANGAT KEKITAAN
Tanggungjawab yang perlu dipikul hendaklah dipikul bersama tidak mengira rupa, jantina, bangsa atau kaum. Dalam konteks ini, semangat perkauman dan kedaerahan hendaklah diketepikan. Bekerja sebagai satu rumpun tanpa ‘memilih bulu’ hendaklah dijadikan satu amalan yang dituntut dalam satu pasokan kerja.

vi)KOMITED
Komitmen yang tinggi dari individu dan juga kumpulan menjadi kunci kejayaan bagi sebarang usaha penambahbaikan melalui pendekatan strategi Kaizen.

v)SENSE OF BELONGING
‘Kejayaan organisasi adalah kejayaan kami kerana kami adalah sebahagian dari organisasi kami’. Kata-kata ini memang seharusnya diluahkan oleh setiap individu dalam organisasi atau keluarga. ‘Cubit Peha Kiri, peha Kanan Akan Terasa’. Semangat ini perlu diterapkan sebagaimana orang-orang Jepun ‘menjaga’ keluarga dan juga organisasi tempat mereka bekerja.

vi)KEPIMPINAN
Strategi Kaizen menekankan kepada aspek kepimpinan yang bukan semestinya lahir dari status atau kuasanya dalam pengurusan. Kepimpinan dalam Kaizen lebih mengutamakan sifat kepimpinan yang lahir dalam individu hasil dari keperibadian dan juga ciri-ciri kemanusiaannya dalam membimbing pekerja lain untuk bekerja ke arah penambahbaikan yang berterusan. Seorang pemimpin yang dihormati ialah pemimpin yang apabila ketiadaannya, pekerja akan terus melakukan tugas seolah-olah dia ada bersama. Pemimpin Kaizen ialah pemimpin yang berjaya untuk mengubah pemikiran pekerja dari bekerja secara terpaksa ( disedari) kepada rela hati ( tidak disedari).

vii)KEBERSIHAN DAN KEKEMASAN
Kebersihan sama ada di rumah mahupun di tempat kerja memang menjadi amalan orang-orang Jepun kerana mereka percaya kebersihan zahir mencerminkan kebersihan batin (Masaaki Imai). Berlandaskan kepada kepercayaan ini, salah satu usaha penambahbaikan ialah melalui penerapan amalan 5S dalam kehidupan orang Jepun khususnya di tempat kerja. 5S terbitnya dari perkataan Jepun SEIRI ( Sisih/asing), SEITON ( Susun), SEISO (Sapu/Bersihkan), SEIKETSU ( Standard) dan SHITSUKE (Disiplin/komitmen). Dengan melaksanakan 5S penerapan nilai-nilai bersih dan teratur dalam pemikiran setiap pekerja dapat meningkatkan produktiviti serta motivasi diri.

Selain dari bersih dari segi persekitaran, individu juga dituntut untuk berpakaian kemas dan bersih sama ada di tempat kerja mahupun di luar temapt kerja bagi memberikan imej yang positif.

viii)DISIPLIN DIRI TERMASUK MEMATUHI STANDARD DAN PERATURAN
Walau apajua pun standard atau peraturan yang ditetapkan, tidak akan terlaksana matlamat pewujudan standard jika individu tidak mendisiplinkan diri untuk mematuhi standard yang ditetapkan. Sebagai contoh, jika individu sering bangun lewat setiap pagi dan lambat ke tempat kerja, sudah pasti ia tidak akan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan memenuhi waktu bekerja yang ditetapkan. Akibatnya tidak ada peningkatan dalam produktivitinya dan ia dianggap mengamalkan cara hidup yang tidak progresif. Jikalau ia tetap mengamalkannya tanpa ingin berubah, maka ia akan ketinggalan dalam banyak aspek.

ix)KETAATAN KEPADA PEMIMPIN
Pelayaran sebuah kapal tidak akan tiba ke destinasinya jika tidak ada nakhoda untuk memimpin. Kapal juga mungkin tenggelam jika anak kapal tidak mematuhi arahan nakhoda. Begitu juga dengan sesebuah organisasi yang pekerjanya tidak mematuhi arahan pemimpin. Konsep ketaatan kepada pemimpin amat ditekankan dalam kehidupan orang-orang Jepun.

KESIMPULAN
Sebagai kesimpulannya, amatlah penting seseorang indiviu atau pekerja dalam organisasi mengamalkan nilai-nilai di atas yang merupakan nilai-nilai yang yang perlu ditekankan dalam kehidupan seharian. Kemahuan dan keinginan kepada perubahan (Kaizen) ke arah penambahbaikan berterusan hendaklah dijadikan pegangan yang lahir dari kemahuan sendiri (unconscious mind) dan bukan secara terpaksa (conscious mind) jika seseorang individu itu mahukan kehidupan yang lebih progresif. Perubahan dalam nilai-nilai di atas menjadi asas dan akar tunjang kepada sebarang usaha ke arah peningkatan kualiti dan jaminan hidup yang lebih progresif. Oleh itu amalan hidup berteraskan Kaizen harus dijadikan amalan yang berterusan tanpa ada titik penamatnya.

SUMBER RUJUKAN:
i)KAIZEN : The Key To Japan’s Competitive Success –Masaaki Imai
( McGraw-Hill International Editions 1991)
ii)GEMBA KAIZEN : A Common Sense, Low-Cost Approach To Management – Masaaki Imai ( McGraw-Hill International Editions 1991)

Sunday, April 25, 2010

K.E.R.J.A

K.E.R.J.A

PESAN SEORANG AYAH KEPADA ANAKNYA

KE HADAPAN ANAKKU YANG KU SAYANGI.

SUDAH SEKIAN LAMA AYAHMU TIDAK MENGUTUS BERITA
BUATMU. LANTAS SURAT INI KU TULIS UNTUK TERUS
MENGINGATKAN KAU ANAKKU PERINGATAN DAN PESANAN
TENTANG KERJA YANG PERNAH DIPERINGATKAN OLEH
DATUK DAN NENEKMU. BIAR IANYA MENJADI WARISAN
KELUARGA KITA, WARISAN SAHABAT-SAHABAT KITA,
WARISAN BANGSA KITA. BIAR IA MENJADI PANDUAN DAN
PEDOMAN SEJAGAT.

ANAKKU SAYANG.

AYAHMU TIDAK PERNAH BERSEKOLAH TINGGI. APATAH LAGI KE MENARA GADING DI LUAR NEGARA BERGURU DENGAN GURU TERSOHOR. TIDAK SEPERTI ENGKAU ANAKKU. BELAJAR DI MERATA TEMPAT DALAM PELBAGAI BIDANG ILMU YANG AKU SENDIRI PUN TIDAK MENGERTI.

AYAHMU INI BANYAK BERGURU DARI ALAM DAN KEPERITAN
KEHIDUPAN MASA LAMPAU KITA. OMBAK LAUT CHINA
SELATAN YANG MENGGANAS SETIAP TIBA MUSIM
TENGKUJUH, PASIR PANTAI YANG PUTIH MENAWAN, JUGA
DESIR ANGIN LAUT ADALAH GURU PALING SETIA AYAHMU
INI. GURU DARI ALAM INI MENGAJAR AYAHMU BAGAIMANA
UNTUK MELAKSANAKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB
MEMBESARKANMU HINGGA KAU BERJAYA.

K
UNTUK BERJAYA ANAKKU, KITA MESTI KUAT. KERANA KATAý BIJAK PANDAI SEMAKIN KITA KUAT MELAKSANAKAN SESUATU KERJA ITU, SEMAKIN KITA AKAN MENYAYANGINYA DAN SEMAKIN KITA TIDAK INGIN MELEPASKANNYA.

JIKA KEJAYAAN YANG INGIN KAU CAPAI, KAU MESTI
BEKERJA KERAS ANAKKU. USAH MENJADI MANUSIA PENAKUT YANG SENANG TEWAS KEPADA CUBAAN YANG TAK SEBERAPA.

SEMANGATMU HARUS KENTAL ANAKKU. KAU HARUS
MENJADI LELAKI SEJATI, TIDAK TAKUT PADA RINTANGAN, TIDAK GENTAR PADA CUBAAN.

AKU JUGA INGIN KAU MENJADI MANUSIA YANG KREATIF
ANAKKU. KERANA SESUNGGUHNYA KREATIF ITU
MENJADIKAN KAU MANUSIA YANG HEBAT. KATA BIJAK
PANDAI .... KREATIF KADANGKALA MENJANA KESILAPAN.
DAN PEMBETULAN TERHADAP KESALAHAN ITU ADALAH
KEHEBATAN SEBENAR. USAH TAKUT MELAKUKAN PERUBAHAN
JIKA IANYA UNTUK KEBAIKAN.
KATA BIJAK PANDAI LAGI, “ .... ORANG YANG TIDAK KREATIF ITU IBARAT MEWARNAKAN LUKISAN DENGAN SATU WARNA SAHAJA. SENADA DAN MENJEMUKAN”.

E
ANAKKU YANG KU KASIHI
AYAHMU INGIN MENASIHATI MU LAGI.
KAU HARUS BERETIKA DALAM URUSAN KERJAMU. JAGALAH
TINGKAH LAKU MU, TEPATILAH MASA KERJAMU. KEMASKAN
HASIL USAHAMU.

KAU HARUS BERTENANG DALAM MENGHADAPI MASALAH.
JANGAN DIIKUTKAN EMOSIMU. EMOSI TIDAK AKAN
MEMBAWAMU KE MANA-MANA KERANA TIADA SIAPA PUN
YANG TERLEPAS DARI MASALAH. TETAPI YANG PENTINGNYA ANAKKU, KAU HARUS MENGHADAPI MASALAH ITU DENGAN PENUH BIJAKSANA DAN TENANG. SETELAH ITU, AKU YAKIN KAU AKAN BERJAYA ANAKKU.

AKU YAKIN, DENGAN ETIKA DAN TANPA EMOSI, HASIL
KERJAMU AKAN EFFICIENT DAN EXCELLENCE. BIAR MEREKA YANG BERURUSAN DENGANMU GEMBIRA DENGAN
KERJAMU. BIAR HASIL KERJAMU MENCERITAKAN SEGALAGALANYA. JANGAN KAU MINTA DISANJUNG DAN DIPUJI KERANA SESUNGGUHNYA ALLAH ITU PENENTU SEGALANYA DAN PUJIAN HANYALAH UNTUKNYA.

R
ANAKKU YANG KU SAYANGI
AKU INGIN TERUS BERPESAN LAGI ANAKKU. PESAN INI
PERNAH KU TITIPKAN UNTUKMU SEWAKTU KAU KECIL.
SEWAKTU KAU KU AJAR MENCANDAT SOTONG DAN
MENANGKAP KETAM DI PESISIR PANTAI. RAJIN DAN USAHA ITU PENENTU KEJAYAAN. RAJIN MELAKSANAKAN TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB. RAJIN BERBAKTI KEPADA AGAMA,ý BANGSA DAN NEGARAMU. DAN KAU HARUS RAJIN BERDOA SUPAYA SETIAP APA YANG KAU LAKUKAN MENDAPAT KEBERKATANNYA. KERANA IANYA AKAN DIPERHITUNGKAN DI HARI AKHIRAT KELAK.

ANDAI KAU DIBERI PANGKAT DAN KEDUDUKAN ANAKKU,
JANGAN RAKUS. KERANA SEJARAH BANYAK MENCATAT
KEJATUHAN MEREKA YANG APABILA DIBERI PANGKAT DAN
KEDUDUKAN TIBA-TIBA MENJADI RAKUS DAN SOMBONG.

KAU HARUS SENTIASA RIANG DAN CERIA SEMASA
MELAKSANAKAN TUGASMU. SENTIASALAH TERSENYUM
BIARPUN DI SAAT KAU MENGHADAPI TEKANAN KERANA
SENYUMAN ITU PUN SATU SEDEKAH ANAKKU. IA PASTI
MENENANGKAN JUA.

AKU TAHU ANAKKU. PASTI ADA SAATNYA KAU MENJADI
MANUSIA PALING BOSAN DENGAN TUGAS DAN
TANGGUNGJAWAB YANG DIBERIKAN. JIWAMU PASTI
MEMBERONTAK MEMPERSOALKAN TUGAS YANG DIBERIKAN.

INI SEMUA ANAKKU, HANYALAH SEKADAR USIKAN-USIKAN
NAKAL NALURIMU YANG MENENTANG, PERASAANMU
YANG MEMPROTES DAN JIWAMU YANG MENYANGGAH.

PEDULIKAN SEMUANYA INI ANAKKU. LAKSANAKAN
TUGASMU DENGAN PENUH RELA DAN REDHA. BUKALAH
MINDAMU. SESUNGGUHNYA MINDA YANG TERBUKA
ADALAH IBARAT PAYUNG TERJUN, HANYA BERGUNA
APABILA IANYA TERBUKA.

J
ANAKKU YANG KU SAYANGI
BERSIKAP JUJURLAH KAU SEPANJANG MASA KERANA JUJUR
ITU MARUAH DAN HARGA DIRI KITA. IBNU KATSIR PERNAH MERIWAYATKAN:

“JUJURLAH ENGKAU DAN PEGANG ERAT-ERAT KEJUJURAN
ITU. NESCAYA ENGKAU AKAN MENJADI ORANG YANG JUJUR
DAN SELAMAT DARI HAL-HAL YANG MEMBINASAKANMU.
DAN NESCAYA ALLAH SUBHANAHU WA TA'ALA AKAN
MENJADIKAN UNTUKMU KELAPANGAN BAGI (SEGALA)
URUSAN”.

JUJURLAH PENENTU SEGALANYA KERANA JUJUR ITU ADALAH BAB PERTAMA DALAM BUKU BIJAKSANA (Honesty is the first chapter of the book of wisdom - Thomas Jefferson)

JANGAN JEMU DENGAN KERJAMU. BERBANGGALAH!
KERANA KAU TELAH TERPILIH UNTUK MENJALANKAN KERJA
ITU SEDANGKAN AKU AYAHMU TIDAK PERNAH BERPELUANG
MELAKSANAKAN KERJA YANG SEDANG KAU LAKSANAKAN
INI. KAU USIR JAUH-JAUH SEGALA RASA JEMU DAN BOSAN.

KERANA SELAGI IANYA BERMAIN DALAM JIWAMU, KAU
SEBENARNYA AKANKU SUDAH TEWAS DALAM PERJUANGAN
INI. AKU INGATKAN KAU LAGI ANAKKU, JANGAN JEMU
BERDOA MEMOHON KEKUATAN DARINYA AGAR KAU LEBIH
TABAH DAN LEBIH BERANI MENJALANKAN TUGASMU.

KAU JUGA ANAKKU, MESTI TERUS MENJADI JUARA. MENJADIý JUARA SEJATI! YANG TIDAK PERNAH GENTAR PADA CUBAAN. TIDAK PERNAH TAKUT PADA RINTANGAN. TIDAK PERNAH GOYAH PADA HALANGAN DAN TIDAK PERNAH RIAK PADA KEJAYAAN.

KAU JUGA HARUS MENJALIN HUBUNGAN DENGAN SESIAPA
SAJA TANPA ADA APA SYAK WASANGKA. BERSAHABATLAH
DENGAN SEMUA ORANG KERANA SUATU HARI NANTI KAU
PASTI MEMERLUKAN MEREKA. KESEMUA DARIPADA MEREKA
ADALAH PEMIMPIN. SEBIJAK MANA KAU SEKALIPUN, KAU
MASIH MEMERLUKAN SAHABAT, TEMAN DAN TAULAN SERTA
PERLU DIPIMPIN. PESANANKU UNTUKMU ANAKKU, KALAU KAU JADI PEMIMPIN, JADILAH PEMIMPIN YANG ADIL DAN SAKSAMA!

A
AMALKAN SEGALA ILMU MU YANG PERNAH KU AJARI DAN
YANG TELAH KAU PEROLEHI. INGATLAH PESAN IMAM ALGHAZALI. AMAL TANPA ILMU ADALAH SIA-SIA. ILMU TANPA AMAL ADALAH GILA. FIKIRKANLAH ANAKKU. GUNAKANLAH AKALMU.

ANAKKU... AMANAHLAH DALAM MENJALANKAN TUGASMU.
INGATAN INI TELAH BERULANG KALI AKU NYATAKAN
PADAMU. DAN AKU TIDAK AKAN JEMU-JEMU MENGINGAT
DAN BERPESAN SUPAYA KAU MENJADI INSAN YANG
AMANAH. DAN AKU YAKIN KAU AKAN MENJADI INSAN
YANG AMANAH.

AKU TAHU KAU SUDAH PUNYA PANGKAT DAN KEDUDUKAN.
USAH ANGKUH ANAKKU. PANGKAT DAN KEDUDUKANMU ITU
PUN ADALAH AMANAH. PASTINYA KAU MASIH INGAT
RIWAYAT INI.

PESAN RASULULLAH KEPADA ABU DZAR BILA MANA ABU
DZAR BERTANYAKAN TENTANG JAWATAN. ‘’WAHAI ABU
DZAR, JABATAN ITU AMANAH, DAN JABATAN ITU AKAN
MENJADI KEHINAAN SERTA PENYESALAN PADA HARI KIAMAT,
KECUALI BAGI ORANG YANG MEMPEROLEHNYA DENGAN
BENAR DAN MELAKSANAKAN KEWAJIPAN YANG DIBERIKAN
KEPADANYA”.

ANAKKU, SEKIANLAH UNTUK KALI INI. AYAHMU MEMOHON
MAAF JIKA SURAT INI MENGGURIS HATI DAN PERASAANMU.
AKU IKHLAS BERPESAN, SEPERTI BANGGANYA AKU DENGAN
KEJAYAANMU.

AKU TAHU KAU TERLALU SIBUK ANAKKU. KIRANYA KAU ADA KELAPANGAN, PULANGLAH MENJENGUK KAMI. AYAH DAN UMMI INGIN BERBICARA LAGI TENTANG KEHIDUPAN INI DENGANMU.

SALAM KASIH SAYANG DARI AYAH DAN UMMI.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Wednesday, April 21, 2010

MOTIVASI

Di sini kami paparkan himpunan koleksi motivasi untuk tatapan dan menambahkan pengetahuan. Bersama-samalah kita mendapatkan ilmu ini.

- Mengapa Motivasi Penting
- Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Motivasi
- Meningkatkan Motivasi Pekerja Bermasalaah
- Proses Meningkatkan Motivasi
- Langkah-Langkah Meningkatkan Motivasi
- Faktor-Faktor Mempengaruhi Kecemerlangan Kerja
- Menjadi Individu Cemerlang

Tuesday, April 20, 2010

Selamat Datang

Assalammulaikum dan selamat datang...........
Saya baru sahaja mewujudkan blog hari ini. Blog ini tercetus hasil daripada pemerhatian saya terhadap keperluan capaian ilmu yang lebih mudah.