Thursday, May 6, 2010

Stress Dan Cara Mengatasinya

STRESS DAN CARA MENGATASINYA

Stress merangkumi pelbagai perasaan termasuk tekanan, beban, konflik, keletihan, ketegangan, panik, perasaan gemuruh, anxieti, kemurungan dan hilang daya. Gejala stress ini terhasil apabila seseorang itu merasa yang keperluan melebihi dari keupayaan atau sumber yang ada pada dirinya.

Perasaan berkemampuan dan berkesan adalah mustahak pada seseorang individu. Menyedari yang diri adalah cekap dan efektif (dalam mencapai apa yang dihajati dan melaksanakan segala tanggungjawabnya) adalah prasyarat penting pada kebanyakan individu profesional dalam penerimaan diri, nilai diri yang positif dan kesejahteraan hidupnya. Jika kepentingan ini terlampau kuat dalam diri seseorang itu, maka ia akan lebih cenderung kepada stress yang dicipta dalam dirinya sendiri.

Seringkali dalam proses setiap pekerjaan dan kehidupan seharian kita tidak terlepas dari keadaan ketegangan atau stress. Manusia seringkali mengadu bahawa ia mengalami stress, 'tension' atau tegang. Lebih-lebih lagi apabila sesuatu perkara penting dalam kehidupan hampir tiba seperti hari perkahwinan, menghadapi peperiksaan, menghadapi temuduga dan sebagainya. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan perlu disediakan. Banyak perkara yang belum difahami dan bermacam-macam lagi yang datang menghantui. Apabila berada dalam situasi ini seringkali kita menyatakan bahawa kita tidak dapat berbuat apa-apa. Potensi diri tidak dapat diterjemahkan dengan baik

Stress ialah satu perkara yang normal yang selalu berlaku kepada setiap insan. Oleh sebab itu sebagai manusia kita perlu tahu dan memahami tentang makna stress secara khusus. Sebenarnya ketegangan atau stress ini mengikut definisinya ialah pengalaman yang tidak enak yang dirasai secara dalaman. Pengalaman ini dialami secara mental, fizikal, emosi dan spiritual. Ia dimanifestasikan secara psikologi, kognitif dan tingkahlaku. Apa yang dapat dilihat, stress ialah satu situasi yang tidak selesa yang mana setiap manusia merasainya secara dalaman. Stress ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal seperti badan menggeletar. Dari emosi pula ia boleh menyebabkan perasaan marah, gelisah, gundah, dan segala-galanya yang menyebabkan ketidakstabilan emosi dan mengganggu dari segi semangat atau spiritual yang ada.
Sikap dan penyakit orang lain mudah berjangkit. Manusia ada tabiat untuk mengalihkan stressnya kepada orang lain. Pernahkah anda merasa tertekan dengan kemarahan dan kelakuan negatif dari ketua, ibu-bapa atau pasangan anda?. Agak senang bereaksi kepada mood orang lain dan adakalanya tanpa kita sedari kita telah menyerapi stress yang diluahkan oleh orang lain.

Bagi mengurangkan atau mengelakkan berlakunya ketegangan, syor atau langkah yang perlu diikuti adalah:
i) Kenalpasti dan amati tanda-tanda ketegangan pada diri
ii) Ketahui bilakah ia berlaku dan di mana biasanya ia terjadi
iii) Cara untuk mengurangi masalah ialah anda harus mengakui akan ketegangan yang berlaku dalam diri anda dengan menyatakan dengan kuat "Aku dalam ketegangan dan tekanan" dan dengan ini akan mengurangkan masalah ketegangan anda.
iv) Buat persiapan awal dengan rapi dan lengkap sebelum melakukan tugas atau kerja diberi oleh ketua anda.

Tidak boleh dinafikan, proses perubahan yang berlaku di dalam hidup kita, sedikit sebanyak memberikan ketegangan di dalam diri. Ini kenalah kita sendiri yang mencari jalan bagaimana mengawalnya lalu mencegah ia daripada berlaku. Sebagai alternatif, apa yang anda boleh lakukan:
i) Kenalpasti perubahan tersebut dan belajar untuk berhadapan dengannya
ii) Memastikan dahulu perubahan tersebut dan cari cara-cara untuk mengatasinya
iii) Mengenalpasti kekuatan diri (strength) bagi mengatasi ketegangan dan tekanan akibat perubahan.
iv) Kenalpasti kawan anda yang boleh membantu untuk memberi sokongan, nasihat dan galakan
v) Buat perancangan dan tindakan apakah cara yang paling sesuai bagi diri anda untuk menghadapi perubahan tersebut.
Anda perlu mengubah diri untuk mengimbangi perubahan yang berlaku di sekeliling bagi menangani ketegangan.

Cara untuk menenangkan diri daripada ketegangan yang disebabkan oleh kesibukan, anda boleh:
i) Mengambil wuduk dan sembahyang sunat sambil banyakkan berzikir
ii) Cuba luangkan masa 10 minit duduk/rehat (bersantai) sambil melapangkan fikiran.
iii) Luangkan masa setengah jam menikmati alam semulajadi.
iv) Duduk di bilik yang gelap dan dengarlah muzik yang anda gemari. Contohnya muzik sentimental.
v) Buatlah senaman yang mudah dan rasakan seolah-olah anda mengeluarkan segala ketegangan dalam diri anda.
vi) Bebaskan diri anda daripada kesibukan seperti pergi menonton dan biarkan tubuh dan minda anda berehat seketika.
Kesimpulannya, banyak lagi kaedah yang boleh kita gunakan untuk mengurangkan stress atau ketegangan di dalam diri kita. Sekiranya kita pandai mengadaptasikannya, insya-Allah kita dapat menghindari penyakit-penyakit yang kita tidak sangkakan berlaku seperti migrain, darah tinggi, sakit belakang, insomnia dan sebagainya. Sekiranya kita dapat mengatasi ketegangan-ketegangan dalam hidup kita, kita akan dapat menjadi seorang individu yang periang, cergas, dapat melahirkan sesuatu idea yang jitu, canggih dan akhirnya wujudlah masyarakat yang prihatin dan juga tidak bermasalah.